Saturday, July 26, 2008

Pendidikan Bahasa dan Sastera Melayu

PENA SUTERA
Pendidikan Bahasa dan Sastera Melayu
‘Sejauh manakah penghayatannya dan pendekatannya dihargai dalam masyarakat moden’

Apakah sastera sebenarnya dan apakah pendekatannya dalam sumbangannya kepada negara? Acapkali kita disua dan ditujah dengan pelbagai persoalan tentang sumbangan bahasa dan sastera melayu di negara kita oleh masyarakat yang kurang pengertian ilmu sastera ini. Sebenarnya sejak dahulu lagi, sastera memainkan peranan yang penting dalam perkembangan sosio-ekonomi, pengetahuan bahkan politik sekaligus dalam masyarakat kita. Namun, pelbagai tanggapan yang naïf tentang pendedahan pendidikan sastera di dalam masyarakat kita sekarang ini, lebih-lebih lagi dengan adanya persaingan yang hebat daripada penggunaan bahasa inggeris dalam membentuk identity masyarakat I.T dan bertaraf professional. Rata-rata masyarakat kini banyak beranggapan bahawa pendidikan sastera hanya membuang masa dan tidak dapat meletakkan diri dalam kumpulan amatur. Sebaliknya mereka merasakan bahawa sastera itu sendiri tiada makna dan terlalu mudah dan sinonim tanpa perlu diberi nafas dalam mempelajari apatah lagi untuk menguasainya.
Jika masyarakat beranggapan begini, maka mereka telah tersilap tafsir akan pentingnya pendidikan bahasa dan sastera melayu di kalangan anak-anak dan juga individu. Ini kerana sedangkan orang melayu itu sendiri jika dalam peperiksaan juga boleh mengalami kegagalan dalam matapelajaran sastera dan bahasa melayu. Ini berikutan atas dasar terlalu mendabik dada bahawa bahasa melayu dan sastera itu sendiri dikuasai penuh oleh masyarakat melayu dan sudah tentulah mereka yang terbaik. Kepesongan anggapan ini membuatkan mereka akhirnya terpinggir dari segi kemajuan dan penguasaan dalam bahasa ibunda mereka sendiri.
Lihat saja di sekolah-sekolah pada waktu ini, kebanyakan pelajar tidak mengambil jurusan kesusasteraan melayu dalam matapelajaran pilihan mereka. Apabila disoal mengapa mereka tidak memilih matapelajaran sastera, alasan mereka adalah kerana untuk mendapatkan pekerjaan yang baik dan gaji yang lumayan, yang penting sekali ialah sains dan matematik , juga penguasaan penuh ke atas penggunaan bahasa inggeris. Sastera melayu itu cumalah matapelajaran untuk suka-suka sahaja. Wah! Betapa angkuhnya budaya masyarakat yang gemar menjunjung bahasa asing berbanding bahasa sendiri. Apakah nanti jika ibu tua yang bertanya dengan menggunakan loghat melayu, anak mereka akan menjawab dalam bahas inggeris? Apakah naïf dan daif jika menyintai bahasa dan sastera bangsa tanahair sendiri? Tepuk dada, tanya selera.
Di Sarawak khususnya, pelbagai usaha giat dilaksanakan oleh pihak tertentu seperti Dewan Bahasa Dan Pustaka serta Perpustakaan Negeri mengenai masalah kemerosotan dalam penglibatan masyarakat dalam bidang penulisan sastera melayu, khususnya di kalangan remaja. Pelbagai corak program telah disusun atur, malah sudah dipergiatkan di seluruh negeri Sarawak. Namun, setakat ini hanya segelintir kecil sahaja bilangan yang ingin menceburkan diri. Program-program seperti bengkel penulisan kreatif, ceramah bahasa serta projek kembara bahasa dan sastera itu sendiri kurang mendapat perhatian di kalangan para pelajar malah pihak sekolah. Mengapakah ini berlaku?
Sudah tentulah ianya melibatkan sikap sambil lewa dan kurang minat terhadap sastera di kalangan mereka ini. Cubalah ditanya di sekolah-sekolah Menengah, adakah masih terdapat jurusan kesusasteraan melayu dalam sukatan matapelajaran di peringkat tinggi seperti tingkatan enam? Sudah pasti banyak yang akan menyatakan bidang itu kurang mampat dan dianggap kurang popular jika dibandingkan dengan jurusan seperti kejuruteraan mekanikal, grafik berkomputer, ICT, geografi, sains yang lebih mendapat tempat di dalam pemilihan pekerjaan kelak. Sudah pastilah sastera itu tidak memainkan peranan dalam masa depan mereka ini.
Justeru itu, baru-baru ini juga penggunaan bahasa inggeris sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah menengah, malah sudah ada juga dilaksanakan di sekolah-sekolah rendah sudah mula diamalkan seperti zaman pemerintahan british dahulu. Apakah zaman sekarang ini juga kita masih lagi dirantai dan dibelenggu dengan penjajahan? Tidak salah sebenarnya ingin memupuk penguasaan bahasa inggeris di dalam diri anak-anak, bahkan golongan elit sasterawan juga fasih berbicara dalam bahasa asing. Namun ini tidak bermakna kita perlu menyingkirkan pengetahuan dan penguasaan bahasa ibunda kita sendiri semata-mata ingin menunjukkan kepada dunia bahawa kita juga seiring dan maju seperti mereka dengan cara bercakap loghat inggeris. Jika begitu bahananya, maka tidak perlulah diwujudkan matapelajaran pendidikan bahasa melayu dan sastera melayu di dalam sukatan matapelajaran di sekolah-sekolah jika hanya untuk dilihat sebelah mata sahaja!
Sebenarnya pendidikan bahasa dan sastera melayu bukanlah sesuatu yang amat sukar, namun perlu dititik beratkan juga. Kebanyakkan golongan elit berpendapat bahawa dengan adanya pendidikan sastera sebagai cabang seni halus dalam diri masyarakat, akan dapat meresapkan nilai-nilai murni yang terdapat dalam wadahnya. Shakespere, Einstein dan beberapa lagi tokoh sasterawan asing juga menjadi terkenal malah dianggap sebagai seorang yang profesional dalam mendidik bangsanya untuk menyintai kebudayaan mereka sendiri. Mengapakah perkara ini tidak terlintas langsung dalam fikiran masyarakat kita sekarang. Mereka juga seorang ahli sastera. Bukan ahli kimia, bukan ahli geografi. Akan tetapi bidang yang mereka ceburi, pendidikan sastera yang mereka resapi dalam jiwa mereka banyak melahirkan ide-ide bernas dalam membasuh pemikiran masyarakat untuk lebih bertamadun. Melalui bahasa dan karya mereka, maka perkembangan dari segi psikologi dan pengetahuan am dapat dijalin dengan begitu kemas dalam diri mereka. Itu di barat.
Di Malaysia pula, kita ada tokoh-tokoh sastera seperti A. Samad Said, Keris Mas, Usman Awang, Arena Wati, Muhamad Haji Saleh, Nordin Hassan dan Abdullah Hussein yang merupakan pendokong utama dalam pengetahuan sastera dan bahasa melayu. Mereka juga seorang pendidik. Bahkan sebelum menjadi pendidik mereka juga seorang pelajar. Sedangkan mereka ini lahir pada masa negara kita dalam jajahan barat lagi, namun mereka tidak pula mendokong atau mengagung-agungkan bahasa asing itu. Apa yang menghairankan, mereka ini yang mendapat pendidikan asing di sekolah-sekolah seperti Penang Free yang lebih mengutamakan bahasa inggeris berbanding bahasa melayu. Namun mengapakah mereka masih kepingin untuk menguasai dan mendokong bahasa dan sastera kebangsaan? Aliran pemikiran sebeginilah yang seharusnya kita contohi supaya cabang bahasa dan sastera halus dan estetik dapat diwarisi kepada anak-anak muda akan datang.
Pendidikan sastera dan bahasa di negeri Sarawak juga semakin kurang jika dibandingkan dengan matapelajaran elektif yang lain seperti geografi dan sekarang ini lebih berminat kepada bidang IT dan kejuruteraan. Jika ditanya mengapa tidak memilih bidang sastera dan bahasa, sudah pasti akan kedengaran oleh lidah angkuh mereka dengan mengatakan apa ada pada sastera dan bahasa untuk berjaya? Bahasa dan sastera begitu mudah saja bagi mereka. Seperti memetik jari. Sudah tahu bagaimana untuk menjawab soalan yang diberikan. Namun, mereka ini mungkin sudah lupa, bahawa sedangkan cerdik pandai yang sudah ternama kini, biarpun sudah bergelar doktor falsafah namun apa yang mereka lakukan ialah terus mendalami serta menguasai bahasa melayu dan mengangkat semula martabat budaya sastera di kalangan masyarakat moden. Untuk lulus SPM seseorang pelajar perlu dapat kredit dalam mata pelajaran bahasa melayu. Barulah sebelah kaki dapat menapak ke arah pintu menara gading. Mengapa ini dilakukan oleh pihak kerajaan? Cubalah fikirkan sejenak. Sudah tentu tujuannya agar budaya berbahasa melayu dan sastera haruslah dikuasai oleh masyarakat kita sendiri.
Cuba lihat pelajar dari negara luar yang datang belajar di Malaysia. Mereka begitu tekun sekali untuk belajar bahasa kebangsaan kita sedangkan bahasa yang mereka tuturkan sejak dari kecil lagi dianggap pula sebagai 5 bintang oleh anak-anak bangsa kita sendiri. Mereka sanggup pula menghabiskan masa, tenaga serta wang ringgit mereka untuk masuk kelas malam semata-mata untuk belajar bahasa ibunda kita. Mengapa pula mereka warga asing ini yang perlu bersusah-payah untuk menguasai bahasa melayu dan sastera kita sedangkan anak-anak bangsa kita sendiri menganggap ini sebagai perkara yang remeh-temeh sahaja?
Renung-renungkanlah diri kita. Apakah ilmu bahasa dsan juga budaya Malaysia dalam diri kita sudah cukup mantap dan gah sebelum kita mengangkat budaya dan bahasa asing? Tepuk dada, tanya selera.

SRI

No comments: